Wednesday, March 16, 2011

Kg Baru: MAS mahu referendum dapatkan pandangan pemilik tanah




KUALA LUMPUR, 17 Mac — Majlis penduduk Kampung Baru mahu satu referendum diadakan bagi menentukan sama ada pemilik tanah bersetuju dengan Putrajaya untuk membangunkan semula penempatan eksklusif orang Melayu itu menerusi satu akta baru.

Setiausaha Kehormat Lembaga Pentadbir Penempatan Pertanian Melayu (MAS) Kampung Baru, Shamsuri Suradi berkata pungutan suara sedemikian diperlukan jika kerajaan “benar-benar mahu mengetahui” bentuk pembangunan yang penduduk mahukan di kawasan berkenaan, yang terletak bersebelahan dengan KLCC di ibu negara.

Ketika bercakap kepada The Malaysian Insider, Shamsuri berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merupakan badan ideal untuk menjalankan tanggungjawab tersebut, yang dilihat berkecuali bagi kedua-dua pihak Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR).

“Mereka ada kuasa untuk mengadakan pilihan raya macam ini. Itu (referendum) seakan macam pilihan raya, hanya kaedah yang berbeza,” tambah beliau.

Shamsuri juga mengesyorkan seorang jurucakap dilantik bagi setiap lot tanah untuk membawa suara atau pendirian pemilik tanah kepada pihak berkuasa.

Kata beliau, langkah itu akan mengelakkan perebutan di kalangan pewaris yang kemungkinan menyokong parti-parti politik tertentu.

Secara purata ada lima pemilik bagi satu-satu lot, dan ada kemungkinan lebih dalam kes-kes tertentu.

Bagaimanapun beliau mengakui proses referendum itu bukan mudah kerana ia akan mengambil masa sehingga setahun untuk selesai.

Dalam satu temu bual dengan The Malaysian Insider dua minggu lalu, MAS masih optimistik usaha membangunkan semula kawasan penempatan berusia 111 tahun itu akan menjadi kenyataan tetapi akan memakan masa yang panjang daripada dijangkakan.

Pentadbiran itu melahirkan pendirian ini di sebalik langkah Putrajaya menangguhkan pembentangan Rang Undang-undang Perbadanan Pembangunan Kampong Baru 2010 untuk bacaan kali kedua ekoran bantahan pemilik dan pewaris tanah.

Undang-undang itu membuka laluan kepada pembentukan sebuah perbadanan, yang awalnya dikatakan akan menggantikan MAS dan kuasa mutlak menteri dan imuniti daripada pendakwaan, tetapi ditentang keras oleh banyak pihak.

MAS melahirkan pandangan itu memandangkan soal membangunkan semula Kampung Baru sudah lama diperkatakan - lebih tiga dekad lalu - tetapi berhadapan dengan pelbagai halangan dan cabaran.

Sehubungan itu, pihak MAS mahu kerajaan menyelesaikan isu-isu berkaitan sebelum meneruskan rancangan untuk membangunkan semula kawasan penempatan milik orang Melayu, yang termahal dan mempunyai 'kuasa autonomi' itu.

Setiausaha Kehormat MAS Shamsuri Suradi mengingatkan bahawa mengikut kiraan mereka, usaha itu kemungkinan mengambil masa 10 tahun sebelum kerajaan boleh menyelesaikan kesemua isu setempat.

Semalam The Malaysian Insider membawa kenyataan Ahli Parlimen Tititwangsa Dr Lo’ Lo’ Ghazali bahawa pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru memberi kata dua - tidak akan teragak-agak untuk menyerahkan memorandum bantahan kepada Yang di-Pertuan Agong

Tuanku Mizan Zainal dan Sultan Selangor jika Putrajaya masih berhasrat membawa Rang Undang-undang Perbadanan Pembangunan Kampong Baru 2010 ke Parlimen.

Dr Lo’ Lo’ menambah, pada Majlis Deklarasi Pemilik dan Pewaris Tanah Kampung Baru kelmarin, majoriti mereka membantah keras cadangan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar untuk menggubal rang undang-undang bagi membangunkan kawasan yang sudah berusia 111 tahun itu.

“Pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru mendesak kerajaan melalui Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar menarik balik pembentangan Rang Undang-undang Perbadanan Pembangunan Kampong Baru 2010 di Parlimen dengan segera, bukan hanya menangguhkannya.

“Jika tindakan ini tidak diambil, pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru akan menyerahkan memorandum bantahan mereka ke kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan kemudian Yang di-Pertuan Agong, mereka juga tidak teragak-agak untuk turun ke Parlimen bersama ahli-ahli Parlimen yang bersama mempertahankan hak mereka,” kata wakil rakyat itu.

Mengulas kenyataan wakil rakyat itu, Shamsuri berkata, Dr Lo' Lo' berusaha mendapatkan pandangan pihak terbabit sekarang tetapi menimbulkan kesukaran yang bakal dihadapinya jika dilakukan tanpa bantuan MAS.

“Mereka boleh lakukan tetapi ia bukan tugas mudah,” kata Shamsuri.

Beliau menjelaskan wakil rakyat hanya terlibat ekoran kegagalan kerajaan untuk melibatkan penduduk dari awal-awal lagi.

Oleh itu katanya, kerajaan seharusnya telah membenarkan penduduk untuk memilih daripada beberapa opsyen yang ada berbanding membina “istana dalam angin.”

Semenjak Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin mengumumkan cadangan untuk mewujudkan rang undang-undang itu, ia mendapat tentangan hebat pemilik dan pewaris tanah kawasan tersebut.

Malah ada pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru berkata mereka tidak pernah sama sekali memberi persetujuan agar rang undang-undang itu digubal seperti mana dikatakan oleh Raja Nong Chik bahawa hampir 90 peratus telah bersetuju.

Terdapat lebih 4,000 pemilik tanah Kampung Baru melibatkan tujuh kampung dengan kawasan seluas 90.2 hektar.

Rang Undang-undang Perbadanan Pembangunan Kampong Baru 2010 akan dibentangkan kali kedua di Dewan Rakyat Jun ini.

Sepatutnya ia dibentang pada bulan ini namun ditangguhkan sehingga Jun bagi memperhalusi semula draf undang-undang itu.

No comments:

Post a Comment