Wednesday, March 16, 2011

Gempa bumi kuat di Jepun


TOKYO 11 Ogos - Satu gempa bumi kuat menggegarkan Tokyo dan kawasan berhampiran sejurus selepas subuh hari ini, mengakibatkan kejadian tanah runtuh, perkhidmatan kereta api laju digantung dan dua reaktor nuklear ditutup untuk pemeriksaan keselamatan.

Seorang terbunuh dan sekurang-kurangnya 64 lagi cedera apabila gempa bumi berukuran 6.5 magnitud itu menggegarkan bangunan, menyebabkan objek terjatuh dan penduduk terjaga dari tidur di Tokyo dan kawasan sekitarnya pada 5.07 pagi ini (4.07 pagi waktu Malaysia).

Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) sebelum itu melaporkan, satu gempa bumi berasingan bermagnitud 7.6 menggegarkan Lautan Hindi kira-kira 257 kilometer ke utara Pelabuhan Blair di Kepulauan Andaman, India, pada 1:55 pagi (3.55 pagi waktu Malaysia).

Amaran tsunami dikeluarkan untuk India, Myanmar, Indonesia, Thailand dan Bangladesh tetapi ditarik balik kemudian tanpa sebarang tsunami dicatatkan.

Gempa bumi di Jepun itu berpusat di Teluk Suruga, barat daya Tokyo, pada kedalaman 20 kilometer.

Kenaikan kecil paras ombak sehingga 60 sentimeter dikesan di sepanjang pantai bandar Yaizu, menurut Agensi Meteorologi Jepun.

Sekurang-kurangnya 64 orang cedera tetapi tiada yang parah, kata pegawai di dua negeri yang paling teruk mengalami gegaran, Shizuoka dan Aichi.

Satu kejadian tanah runtuh berlaku di sebatang lebuh raya di Makinohara, Shizuoka, menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk.

Dua reaktor di loji kuasa nuklear Hamaoka dihentikan buat sementara waktu untuk pemeriksaan keselamatan, tetapi tidak ada kerosakan dilaporkan.

Pengendali 'kereta api peluru' Shinkansen, Central Japan Railway Co. menggantung perkhidmatan buat sementara waktu dan beberapa tren tempatan juga belum beroperasi beberapa jam kemudian.

Jepun adalah antara negara yang paling kerap dilanda gempa bumi dan pakar percaya Tokyo menghadapi kemungkinan 90 peratus dilanda satu gempa bumi besar dalam tempoh 50 tahun akan datang.
Profesor seismologi di Universiti Tokyo, Katsuyuki Abe berkata, pihaknya sedang mengkaji sama ada gempa bumi hari ini menjadi petanda akan berlakunya satu gempa bumi besar yang dijangka boleh melanda rantau ini pada bila-bila masa. - AP

No comments:

Post a Comment