Thursday, November 10, 2011

Tiga saranan untuk belia tingkatkan integriti diri


PUTRAJAYA 10 Nov. - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberikan tiga saranan kepada golongan belia untuk meningkatkan integriti diri selaras dengan peranan mereka sebagai pemimpin dan peneraju negara pada masa hadapan.

Saranan pertama beliau ialah golongan belia perlu menjadikan Instiut Integriti Malaysia (IIM) sebagai lokasi dan pusat rujukan dalam isu berkaitan integriti.

Kata beliau, memandangkan Agenda Integriti Nasional merupakan agenda penting kerajaan, ia tentu dapat menjana pelbagai bentuk kerjasama seterusnya memberi sumbangan tenaga, idea dan fikiran ke arah pembudayaan integriti di kalangan rakyat.

''Saranan seterusnya ialah sebagai pemimpin belia dan pemimpin muda, semua inisiatif dan program yang dirancang untuk ahli dan organisasi seharusnya memberi penekanan ke arah pembangunan sahsiah dan jati diri belia kerana negara sentiasa memerlukan generasi muda yang berkredibiliti tinggi, berdaya saing dan mampu menerajui kepimpinan negara.

''Ketiga, kepimpinan belia perlu lebih sensitif dengan naluri, kehendak dan keperluan ahli. Kajian Institut Penyelidikan Pembangunan Belia mendapati 65 peratus program yang dianjurkan oleh persatuan belia adalah tidak menarik.

"Ia suatu mesej dan sekaligus memberi cabaran kepada mereka untuk melakukan sesuatu anjakan," katanya ketika menyampaikan ucaptama sempena Konvensyen Integriti Nasional bertemakan 'Pelan Integriti Nasional: Peranan Generasi Muda' di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan dan Presiden Institut Integriti Malaysia, Datuk Dr. Mohd. Tap Salleh.

Dalam pada itu, Muhyiddin mahu organisasi belia di dalam negara sentiasa sensitif terhadap budaya masyarakat Malaysia.

Serentak itu, beliau meminta semua pihak termasuk kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta merangka aktiviti belia yang substantif dan bersesuaian dengan acuan budaya masyarakat negara ini.


No comments:

Post a Comment